Friday, May 3, 2013

ANDA AGEN PENGEMBANGAN


Pastinya salah jika kita merasakan agen pengembangan hanyalah terdiri daripada Agen Pengembangan Kawasan (APK) iaitu Pembantu Pertanian yang memberi khidmat kepada golongan sasar di peringkat akar umbi. Sebenarnya kita semua adalah agen pengembangan dan APK adalah sebahagian daripada kita yang berada di barisan hadapan untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada Jabatan Pertanian. Yang pasti, tugas kita sahaja yang berbeza disebabkan kedudukan dalam hiraki organisasi, namun matlamat tetap jelas di mana kita diberi amanah untuk menyampaikan teknologi yang bersesuaian kepada pelanggan. Ia adalah satu amanah yang dituntut untuk dilunas dengan cara yang terbaik. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kita berdosa seandainya gagal melunaskannya dengan sempurna. Justeru itu, tidak dapat tidak kita harus melakukan dengan cara yang terbaik.


Berdasarkan kedudukan dalam hiraki organisasi, mungkin anda terlibat dalam perancangan, pemantauan atau pun sebagai pelaksana. Yang pasti, APK ada peranannya dan begitu juga Penolong Pegawai Pertanian dan Pegawai Pertanian. Kita semua adalah agen pengembangan. Kita harus bergabung tenaga sebagai satu unit untuk menongkah arus. Untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dalam pengembangan, agen pengembangan harus bijak. Kita perlu menggunakan pelbagai kaedah komunikasi, samada komunikasi interpersonal, media masa termasuk ICT. Kita tidak seharusnya menyisihkan diri daripada golongan sasar dengan menyendiri di pejabat atau hanya mewakilkan sahaja kepada subordinat kita. Bak kata pepatah, ”gunung sama didaki, lautan sama direnangi”. Yang pasti kita perlu bersama dan terus berhubung, berinteraksi dan berkolobrasi. Kita juga perlu kerap turun padang untuk memerhati, mengukur, menilai dan merektifikasi ke atas apa jua yang terdapat di lapangan. Agen pengembangan harus memberi panduan atau menyokong golongan sasar dalam konteks memahami situasi dan membantu menyedarkan mereka terhadap sebarang perubahan yang berlaku serta mencadangkan tindakan yang perlu dilakukan.


Terdapat beberapa situasi di mana khidmat kita diperlukan. Seringkali golongan sasar tidak memahami sepenuhnya teknik pengurusan dan kemahiran pengurusan ladang yang betul. Kehadiran agen pengembangan sewajarnya dapat memandu petani untuk mendapatkan kaedah baru atau pengetahuan terkini bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dalam situasi lain pula, golongan sasar sangat memahami masalah yang dihadapi, namun ia tidak dapat mengatasinya disebabkan faktor penghalang yang lain seperti kekurangan modal atau susah mendapatkan bekalan sumber atau perkhidmatan yang diperlukan. Di sini, perkhidmatan tetap diperlu untuk membantu mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan memilih tindakan alternatif yang difikirkan paling sesuai. Dalam situasi lain, bagi golongan sasar yang lebih inovatif seringkali mereka melakukan pengubahsuaian teknologi atas inisiatif sendiri, namun kehadiran kita tetap diperlukan di mana kita boleh membantu dalam memberi analisis kuantitatif dan sokongan penilaian berdasarkan kepada pengetahuan saintifik terhadap inisiatif yang lakukan untuk memacu perubahan yang lebih berimpak tinggi.

Jangan tengok-tengok sahaja kerana Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ”Demi kemuliaan-Ku dan kebesaran-Ku, Aku akan menimpakan balasan berat ke atas penzalim di dunia dan akhirat. Dan Aku juga akan membalas orang yang melihat sesaorang teraniaya dan ia dapat menolongnya tetapi ia tidak menolongnya” (Riwayat al-Tabrani). Renung-renungkan dan tanyalah diri kita, apakah kita telah melakukannya yang terbaik!!!!.

By,
Ketua Biro
Pembangunan Modal Insan
PERPETA
Jabatan Pertanian
Putrajaya
(6 Mei 2013)

No comments:

Post a Comment