Thursday, May 23, 2013

AGEN PENGEMBANGAN YANG BERKESAN


APAKAH ANDA SEORANG AGEN PENGEMBANGAN YANG BERKESAN?


Secara menyeluruh, aktiviti pengembangan adalah bertujuan untuk mencetuskan perubahan di kalangan golongan sasar dari segi cara berfikir, sikap, pengetahuan, dan penerimagunaan sesuatu teknologi. Secara spesifik, pengembangan sewajarnya dapat memastikan berlakunya perubahan dalam pengamalan teknologi daripada yang lama kepada yang baru dalam usaha meningkat produktiviti dan keuntungan bidang teroka.

Oleh yang demikian, agen pengembangan perlu melakukan pelbagai usaha dan bukan sahaja sekadar memberi maklum tetapi ia mengharapkan komitmen yang tinggi untuk membimbing dalam memperbaiki keupayaan golongan sasar untuk menyelesaikan setiap masalah atau kepincangan dalam pengurusan bidang teroka yang diusahakan. Justeru itu, methodologi pengembangan yang berkesan secara prinsip perlu mempunyai elemen pembelajaran. Pembelajaran dalam konteks pengembangan merupakan satu proses memperolehi dan memindahkan pengetahuan bagi meningkatkan keupayaan atau kuasa menakkur (reasoning) dan membuat pertimbangan (judgement) bagi memperlengkapkan kematangan intelektual dalam diri sendiri dan orang lain untuk menghadapi kehidupan yang kian mencabar.

Sistem Latihan 2L dulu sangat berkesan.
Anda seorang agen pengembangan yang berjaya jika anda mampu menerapkan elemen pembelajaran dalam aktiviti pengembangan. Pastikan anda tidak mengamalkan elemen negatif dalam menjalankan aktiviti pengembangan. Perhatikan semakan berikut:

Ø      Elakan saluran komunikasi secara satu hala.

Saluran komunikasi satu hala lazimnya menghadkan kesediaan golongan sasar untuk lebih berinteraksi secara aktif. Golongan sasar merasakan mereka kurang dihargai dan penerokaan opsyen lain akan jadi terhad. Realisasi keperluan akan dapat dicerna dengan berkesan jika komunikasi dua-hala diamalkan.

Ø      Elakan aktiviti pengembangan bersifat melatih tubi

Pendekatan latih tubi seperti dalam proses pendidikan pedagogi hanya memberikan peluang terhad kepada golongan sasar untuk berfikir. Sesi pembelajaran seharus menjurus kepada perkongsian pengalaman yang dapat menimbulkan kesedaran situasi permasalahan tanpa provokasi yang berlebihan. Sisih persepsi bahawa golongan sasar adalah jahil dalam semua situasi.

Ø      Elakan aktiviti pengembangan yang memberi fokus kepada pemindahan teknologi sahaja dan kurang bersifat membimbing.

Pendekatan agen pengembangan harus tidak terfokus kepada jenis teknologi yang ingin disampaikan, tetapi harus digabungkan dengan aspek mengapa, bagaimana serta faedahnya. Dalam semua keadaan, agen pengembangan juga perlu mendekatkan dengan realiti permasalahan dalam konteks sebab dan akibat. Dengan cara ini, ia mampu menimbulkan minat dikalangan golongan sasar. Mungkin golongan sasar mengetahui masalah yang dihadapi, namum mereka tidak pasti lamgkah mengatasinya. Justeru itu, agen pengembangan harus menunjukkan arah yang betul.

Teruskan usaha terbaik tanpa tangguh. Sahabat besar Nabi SAW iaitu Saidina Omar al-Khattab RA akan menyebut berulang-ulang Ayat Quran (Asy-Syarh: ayat 7:94) yang bermaksud ”Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah berkerja keras (untuk urusan yang lain)” apabila selesai sahaja melunaskan sesuatu tugas. Ayat ini memberi jajaran kepada kita untuk berkerja keras dalam mengapai kejayaan. Renung-renungkan dan lakukan langkah pertama untuk memberikan perkhidmatan pengembangan yang berkesan kepada golongan sasar.

Oleh:
Ketua Biro
Pembangunan Modal Insan
PERPETA
Jabatan Pertanian
Putrajaya.
(23 Mei 2013)

No comments:

Post a Comment